LINUS Berakhir Di Kantin? Hanya Aku Dan Mereka, Yang Lain?
‘Cikgu janji siapa yang habis cepat membaca buku Cahayaku dan boleh membaca suratkhabar cikgu akan belikan McDonald, KFC dan bagi hadiah’ itulah kata-kata semangat yang saya lemparkan kepada pelajar-pelajar Linus di Sekolah Rendah Kebangsaan Kg. Baru, Kuala Lumpur ketika mula-mula saya mengenali mereka. Semuanya ada 49 orang. Ada juga yang suka-suka masuk kerana bacaan mereka tidak lancar dan menjadikan jumlah 57 orang pelajar kesemuanya.
Selama 2 bulan setengah bersama mereka membuatkan saya merasakan bahawa pelajar-pelajar ini bukanlah tidak pandai tetapi mereka tidak mendapatkan satu sistem yang mudah untuk dipelajari. Mereka perlukan sistem yang gabungan bunyian yang ada logiknya. Kini pelajar-pelajar ini boleh membaca dan mengeja. Dari hasil ujian Linus yang dijalankan hanya 3 orang sahaja yang masih ketinggalan kalau tak silap saya menurut kata-kata guru yang menjalankan ujian ini. Tidak boleh disalahkan pihak sekolah tetapi ini adalah kerana sikap ibu-bapa yang tidak mengambil berat tentang pelajaran anak-anak mereka. Sikap pelajar juga main peranan. Malas ke kelas dan hilangkan buku bacaan yang diberikan dengan percuma. Tiadanya rasa tanggungjawab yang ditanamkan oleh ibu-bapa di dalam diri pelajar ini. Mungkin kerana diberikan dengan percuma dan tiada yuran yang dikenakan membuatkan mereka tidak dapat menilai usaha murni yang saya lakukan.
Bak kata orang setelah rumah siap pahat pula berbunyi. Itulah yang berlaku dimana saya difahamkan oleh salah seorang guru ada beberapa orang pelajar yang masih lagi tidak boleh membaca. Contoh seorang pelajar yang bernama Nazli. Hairan kenapa dengan saya mereka boleh membaca, mengeja dan menulis dengan tepat. Untuk dijadikan bukti sila lihat video klip Sek Ren Keb Kg Baru dimana mereka membaca akhbar dan mengeja di papan hitam dengan tepat (Sek Keb Kg Baru Sessi 2 bahagian 1). Malah pelajar tegar yang bernama Haikal juga boleh membaca 2 sukukata. Video klip yang bertajuk Haikal (Ogos 4 2011) juga telah membuktikan bahawa pelajar tegar juga boleh mengikuti sistem ini dengan mudah.
Sayangnya Haikal tidak sempat habis kerana saya tidak dapat meneruskannya memandangkan hanya tinggal 3 orang sahaja pelajar yang masih lagi di buku 1. Saya sibuk dengan tugasan dan memandangkan hanya 3 orang sahaja lagi yang tertinggal saya yakin pihak sekolah dapat menanganinya kerana apa yang perlu mereka lakukan ialah menyambung apa yang telah saya tanamkan didalam diri pelajar tersebut dan ajar secara iqra’ sahaja.
Adakalanya sesetengah sikap guru juga boleh menyebabkan pelajar-pelajar ini tidak mahu menunjukkan kepandaian mereka. Guru harus mengubah sikap dari seorang yang pentingkan diri, sombong, garang, buat kerja sambil lewa kepada sifat-sifat yang lebih positif. Seorang guru yang penyanyang akan membuatkan pelajar ini merasa lebih selesa dan mudah untuk bercerita. Bencikan guru pelajar akan bencikan matapelajaran yang diajar. Sekiranya pelajar itu sayangkan guru, pelajar juga akan suka dengan matapelajaran yang diajar, walaupun pelajaran itu matapelajaran yang dibenci oleh pelajar tersebut.
Mungkin kebanyakan cikgu-cikgu di seluruh Malaysia kena mengubah sikap mereka kepada seorang guru yang PENYAYANG. Tidak perlu menjadi seorang guru yang garang. Kalau GARANG pun biarlah bertempat bukannya garang “UNLIMITED”. Tiada ruginya sekiranya kita meyayangi mereka dan cuba untuk memahami perasaan mereka. BOLEHKAN CIKGU! Jadilah seorang PENDIDIK yang penuh dengan tanggungjawab dan penuh dengan kasih sayang. ASBOOR……ASBOOR…..
…
Catatan kisah ini ditulis sendiri oleh pereka konsep dan penulis sistem Cahayaku.
Tarikh: 1 Disember 2011.
SITI NORIHAN BINTI MOHSIN
June 25, 2021Bantu anak saya.umur 6tahun.huruf tidak kenal lagi.
Asrulnizam Abas
June 25, 2021Puan tinggal di kawasan mana tu?